# Jadualkan, sertai & rakam mesyuarat Microsoft Teams

> Jadualkan mesyuarat Teams dari Teams atau Outlook, mula serta-merta dengan Meet now, sertai sebagai tetamu, kongsi skrin dan rakam.
>
> Source: https://docs.officeniaga.com/ms/m365-teams-meetings/

Untuk menjadualkan mesyuarat Teams, buka **Calendar** dalam Teams dan pilih **New**, atau cipta acara dalam Outlook dengan suis **Teams meeting** di-on-kan. Semua orang yang anda jemput menerima link mesyuarat, termasuk orang di luar syarikat.

## Jadualkan mesyuarat dalam Teams

Jemputan dihantar ke e-mel dan kalendar setiap orang.

1. Dalam Teams, pilih **Calendar** di sebelah kiri.
2. Pilih **New** di bahagian atas, atau klik slot masa yang kosong.
3. Tambah tajuk, kemudian taip nama rakan sekerja, atau alamat e-mel penuh orang di luar syarikat.
4. Tetapkan tarikh dan masa. Guna **Scheduler** untuk melihat bila semua orang lapang.
5. Pastikan suis **Teams meeting** di-on-kan.
6. Pilih **Save** atau **Send**.

## Jadualkan dari Outlook

Outlook menambah link Teams ke dalam jemputan secara automatik.

- **Outlook baru (new Outlook) dan Outlook on the web:** pergi ke **Calendar** > **New event**, on-kan suis **Teams meeting** di sebelah tajuk, tambah orang dan pilih **Send**. Jangan guna **Save as draft**, kerana draf tidak ada link mesyuarat.
- **Outlook klasik (classic Outlook):** pada tab **Home**, buka senarai di sebelah **New Email** dan pilih **Meeting**, kemudian pilih **Teams Meeting**. Tambah orang dan pilih **Send**.

## Mesyuarat serta-merta

Untuk panggilan ringkas yang tiada dalam kalendar, pergi ke **Calendar** dalam Teams dan pilih **Meet now**. Beri nama kepada mesyuarat itu, pilih **Get a link to share** untuk menghantar link kepada orang lain, kemudian pilih **Start meeting** dan **Join now**. Dalam chat kumpulan, **Meet now** di bahagian atas chat itu memanggil semua orang dalam chat tersebut.

## Sertai mesyuarat

Sebelum anda menyertai mesyuarat, Teams memaparkan skrin pratonton. Di situ anda boleh on-kan atau off-kan kamera dan mikrofon, dan menyemak audio anda.

1. Buka mesyuarat itu dalam **Calendar** Teams anda, atau buka jemputan dalam Outlook.
2. Pilih **Join**.
3. Semak kamera dan mikrofon anda, kemudian pilih **Join now**.

Orang di luar syarikat yang tidak ada akaun Teams boleh membuka link dalam jemputan, menaip nama mereka dan menyertai mesyuarat. Mereka mungkin perlu menunggu di lobi sehingga seseorang membenarkan mereka masuk.

## Kongsi skrin anda

Semasa mesyuarat, pilih **Share** di bahagian atas dan pilih seluruh skrin anda, satu tetingkap atau fail PowerPoint. Untuk memainkan video dengan bunyi, on-kan **Include sound** terlebih dahulu. Pilih **Stop sharing** apabila anda sudah selesai.

## Rakam mesyuarat

Beritahu semua orang sebelum anda mula merakam. Pilih **More actions** (tiga titik), kemudian **Record and transcribe** > **Start recording**. Untuk berhenti, pergi ke menu yang sama dan pilih **Stop recording**.

Menurut Microsoft, rakaman memerlukan lesen Microsoft 365 untuk bisnes, dan admin anda perlu on-kan fungsi rakaman. Tetamu (guest) tidak boleh merakam. Rakaman disimpan dalam OneDrive penganjur (atau dalam SharePoint untuk mesyuarat dalam channel) dan dipaparkan dalam chat mesyuarat. Admin anda mungkin menetapkan tarikh tamat tempoh untuk rakaman.

## Masih ada masalah?

Hubungi pasukan sokongan kami melalui WhatsApp di [+60 16-916 3324](https://wa.me/60169163324).

## Isu biasa

### Boleh pelanggan yang tidak ada Teams menyertai mesyuarat saya?

Boleh, jika syarikat anda membenarkannya. Mereka buka link dalam jemputan, taip nama mereka dan pilih untuk menyertai dalam browser atau aplikasi Teams. Mereka mungkin perlu menunggu di lobi sehingga seseorang dalam mesyuarat membenarkan mereka masuk.

### Butang Teams Meeting tiada dalam Outlook klasik.

Add-in Teams untuk Outlook klasik kadang-kadang hilang. Tutup Outlook dan Teams, buka Teams, kemudian buka Outlook semula. Outlook baru sudah ada Teams di dalamnya, jadi tidak perlu add-in.

### Skrin yang saya kongsi nampak hitam di Mac.

macOS mesti membenarkan Teams merakam skrin anda. Buka System Settings, cari Screen & System Audio Recording dan on-kan Microsoft Teams, kemudian tutup dan buka semula Teams.
